GARDENIA MEMPERUNTUKKAN RM 1 JUTA BAGI PROGRAM BANTUAN COVID-19

Penerima bantuan Gardenia adalah dari kalangan keluarga B40, para petugas barisan hadapan dan penuntut universiti

Shah Alam, Malaysia, 23 April 2020 – Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (GBKL) telah memperuntukkan lebih daripada RM 1 juta kepada kelompok masyarakat yang terjejas sebelum dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bantuan tersebut adalah dalam bentuk produk-produk keluaran Gardenia, telah diedarkan kepada kelompok keluarga B40, para petugas barisan hadapan dan para penuntut universiti di bawah Program Food Bank Siswa di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Kami amat memahami cabaran yang dihadapi oleh masyarakat berkenaan krisis Covid-19 yang sedang melanda negara, terutamanya mereka dari kumpulan isi rumah dan individu yang bergantung kepada gaji harian amat merasainya dan sedang menghadapi kesukaran pada ketika ini. Justeru itu, kami berharap dapat mengurangkan beban masyarakat yang menghadapi kesukaran bagi menyediakan makanan untuk seisi rumah akibat daripada penularan wabak yang sedang melanda sekarang ini, ” Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GBKL, Koh Chin Huat, mengulas tentang inisiatif GBKL ini.

Semasa Fasa 1 PKP, GBKL telah memperuntukkan lebih 23,500 produk Gardenia bernilai lebih kurang RM40,000 untuk membantu kelompok keluarga B40, para petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani wabak dan para pelajar yang bergantung kepada Program Food Bank Siswa di universiti mereka.

“Kami di Gardenia amat menghargai dedikasi para petugas barisan hadapan, baik yang di bidang perubatan serta para petugas yang menjaga keselamatan, yang bertungkus lumus untuk merawat dan melindungi Rakyat. Kami juga prihatin terhadap para pelajar yang berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan yang terpaksa berada di kampus, dan berharap sumbangan ini serba sedikit dapat membantu meringankan kesusahan yang mereka hadapi semasa tempoh PKP dilaksanakan, ” tegas Koh berkenaan sumbangan GBKL Prihatin akan kesusahan mereka yang bergaji harian disebabkan PKP ketika penularan wabak Covid-19, GBKL memulakan pusingan kedua pemberian produk-produk Gardenia kepada lebih ramai keluarga B40 yang telah di kenalpasti, bermula pada 13 April 2020 lalu. Dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Gardenia akan menghantar pek pemberian dalam jangka masa 3 minggu sehingga 4 Mei 2020, kepada 13,000 keluarga B40 di Semenanjung Malaysia. Setiap pek pemberian mengandungi satu buku roti putih ‘Gardenia Original Classic’, 1 tub Kaya Auntie Rosie (Original) dan dua paket ‘ Delicia Toaster Waffles’.

Semasa Fasa 2 PKP, GBKL telah memperuntukan lebih daripada 13,000 buku roti putih Original Classic’, 13,000 tub kaya dan 26,000 paket Toaster Waffles, semuanya berjumlah 54,000 produk, yang bernilai RM108,000 khas buat kelompok keluarga kategori B40.

Sebagai sebuah syarikat yang mempunyai hubungan erat dengan masyarakat disekelilingnya, dan mengambil berat tentang kesusahan mereka yang kehilangan pendapatan, GBKL juga memberikan sumbangan dalam bentuk wang tunai dan pek pemberian produk kepada keluarga-keluarga yang terkesan di sekitar premis-premis operasi Gardenia.

“Rakyat negara ini telah bersatu padu dengan mematuhi arahan PKP dengan duduk di rumah bagi membantu memutuskan rangkaian Covid-19 sejak 18 Mac 2020. Seluruh warga kerja Gardenia sentiasa bersama rakyat Malaysia, bersama-sama menghadapi rintangan ini. Gardenia komited memastikan pengeluaran tidak terjejas dan penghantaran harian ke pasaraya serta kedai-kedai lain akan diteruskan seperti biasa. Kami juga berharap agar bantuan 1 juta program ‘Gardenia Covid-19 Aid’ akan memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang amat memerlukan’ jelas Koh.

Koh juga menggesa para pengguna agar bertenang, dan membeli produk gardenia mengikut keperluan keluarga seperti biasa. Beliau juga amat berterima kasih kepada para pengguna sekalian atas kerjasama dan sokongan semua kepada Gardenia.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi GBKL melalui e-mel customer_service@gardenia.com.my